BIBD anugerah 4 kumpulan belia berpotensi

Source: Pelita Brunei

Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland / Foto: Alishahrin Haji Mumin

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 8 Ogos. – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hari ini menganugerahkan Anugerah Kepimpinan Belia Mampan BIBD kepada empat kumpulan belia yang berpotensi iaitu Brumi Lestari, Green Space, Purrfectly Green, dan Green Pearls setelah berjaya membentangkan penyelesaian inovatif untuk menangani isu alam sekitar yang kritikal seperti pengurusan sisa makanan dan mempromosikan kehidupan lestari.

Majlis berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.

Anugerah di bawah Matlamat Pembangunan Mampan 12 (SDG 12) dibahagikan kepada empat kategori, iaitu Kategori Penghasilan Bertanggungjawab; Kategori Gaya Hidup Lestari; Kategori Sisa Makanan dan Kategori Pengurusan Sisa.

Pemenang bagi Kategori Penghasilan Bertanggungjawab, iaitu Brumi Lestari bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan laporan audit bagi sisa makanan komprehensif yang memberi tumpuan kepada pengeluaran pra pengguna.

Perkhidmatan berkenaan termasuk pengumpulan data menggunakan skala dan aplikasi pintar melalui IoT (Internet of Things) serta analisis amalan penyebab sisa melalui pemerhatian. Selain itu, ia juga akan menyediakan laporan kepada perniagaan dan membantu mengenal pasti kawasan di mana mereka boleh mengurangkan sisa bekalan.

Di bawah Kategori Gaya Hidup Lestari, Green Space telah memenangi anugerah berkenaan dengan tujuan untuk membantu orang ramai memahami dan menggunakan SDG serta memfokuskan kepada tanggungjawab penggunaan dan kehidupan lestari. Ia juga antara lain bertujuan untuk menggunakan platform media sosial untuk mendidik orang ramai tentang amalan dan tabiat terbaik yang boleh menyokong kehidupan lestari.

Manakala, pemenang bagi Kategori Pengurusan Sisa dimenangi oleh Purrfectly Green. Projek berkenaan bertujuan untuk mengubah sisa makanan kepada makanan haiwan peliharaan, mengamalkan piawaian kesihatan dan halal standard dengan segmen tertentu bagi yang prihatin akan sumber makanan untuk haiwan peliharaan mereka.

Sementara, Mutiara Hijau pula memenangi anugerah Kategori Sisa Makanan yang bertujuan untuk menambah baik pengurusan sisa makanan di Negara Brunei Darussalam (NBD). Justeru, dengan projek perintis menangani kawasan komuniti seperti perkampungan penempatan semula, ia bertujuan untuk mendekati pemimpin masyarakat dan membawa kesedaran pengasingan sisa yang boleh diproses menjadi kompos untuk tujuan pertanian.

Setiap kumpulan menerima wang sebanyak BND3,000 dan akan bekerjasama dengan rakan kongsi strategik masing-masing daripada sektor kerajaan dan swasta untuk sembilan bulan akan datang.

Ia adalah untuk membangunkan idea mereka dan memperkasa serta mengembangkan idea untuk menjadi bukti konsep dan seterusnya disokong untuk potensi ‘commercialisation’.

Anugerah Kepimpinan Belia Mampan BIBD mengiktiraf dan meraikan sumbangan cemerlang belia NBD ke arah mewujudkan masa depan yang mampan dan berfungsi sebagai pemangkin kepada inovasi serta memperkasa generasi akan datang untuk menangani cabaran alam sekitar, sosial dan ekonomi.

Anugerah berkenaan adalah usaha kerjasama yang melibatkan Unit SDG Pejabat Wawasan di bawah Pejabat Perdana Menteri; Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Green Brunei, dan Majlis Belia Brunei.

Perkongsian awam swasta yang kukuh berkenaan menggariskan komitmen BIBD sebagai Rakan Dalam Kemajuan untuk bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan dan pihak berkepentingan lain untuk mewujudkan ekosistem yang menyokong pembangunan belia dan penyesuaian serta penerimaan kemampanan.

Latest Post